SEMPENA SAMBUTAN HARI KEMERDEKAAN KE-56 PERINGKAT NEGERI JOHOR

Print

UCAPAN

Y.A.B. DATO’ SERI MOHAMED KHALED  BIN NORDIN 

MENTERI BESAR JOHOR

SEMPENA SAMBUTAN HARI KEMERDEKAAN KE-56

PERINGKAT NEGERI JOHOR

DI  STADIUM  BANDAR  PENAWAR, 

KOTA TINGGI, JOHOR

PADA HARI  SABTU,  31 OGOS 2013

PADA JAM 8.00 PAGI

 

Assalamulaikum Warahmatullahi  Wabarakatuh dan Salam Sejahtera

 

1. Alhamdulillah, pertamanya marilah kita memanjatkan rasa syukur ke-hadrat Allah SWT kerana pada hari yang bersejarah dan penuh dengan warna-warni jalur gemilang, dapat kita meraikan Hari Kemerdekaan yang ke-56  negara kita, Malaysia. Dengan kesempatan, kekuatan, dan kesihatan yang ada, mari kita mengulangi ikrar dan komitmen untuk terus menunaikankan amanah dan tanggungjawab kepada masyarakat, bangsa, dan negara tercinta.

 

2. Bersempena dengan sambutan hari kemerdekaan yang bertemakan Malaysiaku Berdaulat, Tanah Tumpahnya Darahku, saya mengajak para hadirin sekalian untuk kembali merenung dan meneladani nilai-nilai kebangsaan, dan semangat perjuangan yang diwariskan oleh para pendiri bangsa dan pejuang kemerdekaan. Mereka adalah sumber inspirasi dan kekuatan bagi kita untuk terus mewujudkan cita-cita membangunkan ibu pertiwi. Mereka telah menyediakan landasan yang sangat penting dan menghadiahkan kita kebebasan.

 

3.   Lantaran itu, marilah kita terus merakamkan rasa terima kasih dan terhutang budi pada mereka sama ada yang masih bersama atau pun yang telah terdahulu meninggalkan kita. Insya Allah sebagai generasi penerus, kita semua akan memelihara Malaysia yang merdeka ini dengan sebaiknya.  Kepada anggota keselamatan terutamanya pihak polis dan tentera, Kerajaan Negeri merakamkan setinggi-tinggi penghargaan di atas segala pengorbanan anda semua demi memastikan keamanan negeri dan negara senantiasa berada dalam keadaan selamat serta aman sejahtera. 

 

Tuan-tuan dan Puan Puan,

 

4. Johor mempunyai tempat yang penting  dan istimewa dalam sejarah perjuangan kemerdekaan tanahair. Di negeri inilah bermulanya hembusan nafas kemerdekaan yang bercita-cita ampuh memperjuangkan sebuah negara Malaya merdeka dan berdaulat, bebas dari sebarang penaklukkan penjajah. Melalui pergerakan politik yang teratur dan sokongan rakyat yang bersepadu, negara kita telah berjaya menempa tarikh 31 Ogos sebagai detik kemerdekaan negara. Oleh itu, saya yakin, Johor akan terus menerajui inisiatif-inisiatif besar pembangunan bangsa dan negara Malaysia dimasa hadapan.   

 

5. Pada hemah saya, negeri kita Johor mempunyai satu ramuan unik yang mendukungi semangat kemerdekaan itu sendiri. Hal ini sebenarnya berkait rapat dengan semangat permuafakatan dan nilai toleransi yang kita junjung selama ini. Dalam konteks lain, kita menyedari bahawa Bangsa Malaysia adalah bangsa majmuk yang saling menghormati latar belakang agama, sosial dan budaya sesuatu kaum itu. Makanya, mestilah kita jadikan kemajmukan ini sebagai anugerah, sekaligus kewajiban untuk mengurusnya secara bijak.  

 

6.   Suka saya nyatakan bahawa permuafakatan dan nilai toleransi merupakan prinsip utama dalam kehidupan berbangsa dan bernegara yang kita pegang selama ini.  Kita harus memberikan perhatian yang penuh agar toleransi tumbuh makin subur di antara segenap warga negara. Saya sangat berbangga, hubungan antara kaum dan agama dalam Johor yang majmuk, sesungguhnya sangat kukuh dan kuat terjaga. Inilah kekuatan ‘Cara Johor’ dan inilah Bangsa Johor.

 

Tuan-Tuan dan Puan-Puan

 

7. Bercakap soal kemerdekaan itu amat  mudah untuk kita atur dengan pertuturan, tetapi untuk kemerdekaan itu kekal ditangan kita tanpa sebarang ancaman bukanlah satu perkara yang mudah. Banyak yang perlu dikorbankan, banyak tuntutan yang perlu dilunaskan. Apa pun harganya, lantaran kemerdekaan negara masih lagi bernyawa dan kekal hidup, kita sebagai pewaris bangsa wajib mempertahan dan memelihara  kemerdekaan itu dengan apa cara sekali pun.

 

8. Pada hari yang mulia ini, marilah kita merenungi kebejatan yang sedang melanda di negara-negara Timur Tengah seperti Syria dan Mesir. Sepatutnya segala kemelut yang sedang berlaku sekarang memberi kita pengajaran dan iktibar supaya kita beringat akan hal yang sama boleh berlaku dinegara kita. Peri pentingnya disini, kemerdekaan dan keamanan yang kita nikmati sekarang bukanlah abadi dan kitalah yang memilih  corak kesudahan negara kita kelak.  

 

9. Atas segalanya, suka saya mengingatkan diri saya sendiri dan para hadirin yang ada akan tiga saranan utama:

 

i. Menghayati maksud perjuangan berlandaskan kompas sejarah. Memang benar hari ini kita memperkatakan soal perjuangan dari pelbagai sudut. Namun perjuangan yang kita sebut tidak sama dengan perjuangan yang telah dikatakan oleh bapa pemuka bangsa kita. Mana tidaknya perjuangan yang kita sebut selalulunya diadun dengan pemahaman minda moden serta kaca mata atau pun lensa kontemporari. Hal ini  ternyata hanya membawa kepada maksud sampingan tetapi tidak kepada erti  yang diperjuangankan oleh pendiri-pendiri bangsa. Semestinya, maksud perjuangan pada hari ini memerlukan bimbingan sejarah sebagai kompas yang memandu halatuju perjalanan negara kita. Tanpa sejarah mana mungkin kita fahami rahsia perjuangan, harga kemerdekaan dan nadi kekuatan negara yang telah dibina dengan begitu kukuh dan unik.  

 

ii. Semangat patriotisme mesti diterjemahkan dalam bentuk yang lebih luas setiap masa. Masalah utama kita pada hari ini dalam memperkatakan soal patriotisme negara-bangsa sering terhad kepada penyuapan simbol-simbol nasional. Kita diajar tentang bendera, lagu negaraku, lagu-lagu patriotik dan tema hari Merdeka umpamanya. Ini tidak bermakna perkara sedemikian tidak perlu dilakukan tetapi semangat patriotisme dan cintakan negara takkan lahir hanya melalui lambang, simbol dan lagu patriotik. Untuk itu, perkara yang lebih penting adalah maksud dan teras disebalik lambang, simbol dan lagu yang memungkinkan kita menterjemahkan semangat patriotisme dalam pelbagai sudut dan konteks kehidupan harian kita yang lebih luas. 

 

iii. Berubah dari mendefinisikan diri kita berasaskan perbezaan kepada mencari kesamaan yang ada. Kita tidak mungkin menghilangkan perbezaan, kerana perbezaan itu sendiri merupakan ciri dari masyarakat majmuk. Yang perlu kita lakukan adalah menjadikan perbezaan itu kekuatan yang memberi manfaat. Justeru sama ada suka atau tidak, sebagai sebuah negara majmuk mestilah dipacu dengan nilai perpaduan dan permuafakatan demi mencapai cita-cita yang lebih besar. Tugas ini perlu dilaksana dengan kesedaran bahawa perpaduan dan pemuafakatan memerlukan pengorbanan setiap warga rakyat Malaysia. Marilah kita menilai perpaduan sesama kita bukan kerana warna kulit tetapi nilailah perpaduan itu dengan baja keikhlasan dan amanah.

 

Tuan-tuan dan Puan-puan

 

10. Sebagai pemimpin pentadbiran negeri Johor, saya juga ingin mengambil peluang pada hari bersejarah ini untuk menzahirkan azam pentadbiran. Saya dan rakan-rakan seperjuangan akan gigih berusaha untuk menjadikan  Johor, damai sejahtera. Negeri yang mundur suatu hari nanti akan jadi sejarah. Negeri yang kemajuannya bersandar ilmu dan lestari. Negeri yang hak rakyatnya di hormati dan dipertahankan. Negeri yang kemajuan ekonominya pesat dan diagihkan secara saksama. Terlebih penting adalah Johor yang rakyatnya merasa selamat, mempunyai kediaman yang selesa, bebas beragama, di lengkapi sistem persekolahan yang baik, kemudahan kesihatan yang bermutu serta sistem sosial yang efektif. 

 

11. Pokoknya di sini, semua yang telah saya utarakan bukan semata-mata omongan kosong atau hanya sekadar janji politik. Ianya mampu dilaksana dan berkehendakkan strategi yang baik, kerja keras dan pendekatan yang berkesan. Saya merasakan dan percaya bahawa pendekatan ‘keterlibatan sama’ atau ‘inclusive’ adalah jalannya. Kalau boleh saya rumuskan di sini, pendekatan ‘inclusive’ adalah satu proses berterusan bagi memetakan visi, misi dan pencapaian berteraskan hubungan dua hala antara rakyat dan pemerintah bagi membina dengan izin people-first administration.

 

12. Oleh hal yang demikian pentadbiran saya akan berusaha membudayakan pendekatan ‘inclusiveness’ ini dalam setiap peringkat, sama ada penggubalan dasar hinggalah pelaksanaannya bagi melestarikan pembangunan negeri Johor yang beretika tinggi, kukuh dan bervisi jelas. 

 

13. Namun percayalah, saya dan rakan-rakan tidak mampu melakukan ia bersendirian. Johor yang sejahtera bukan hanya agenda kerajaan. Ia adalah visi dan hasrat rakyat. Maka hanya penglibatan sama pelbagai pihak sahaja yang boleh memastikan kejayaannya. 

 

Tuan-tuan dan Puan-puan

 

14. Pada hari yang mulia ini, saya mengajak seluruh rakyat agar, membelakangkan apa jua perbezaan, demi Johor dan Malaysia. Marilah kita membangunkan Johor dan Malaysia yang berdaya saing, moden, selamat, bersatu-padu dan sejahtera. Hanya dengan cara inilah kita dapat menyumbang kepada mempertahankan kedaulatan dan kemakmuran Malaysia.

 

15. Sesungguhnya tema Malaysiaku Bardaulat, Tanah Tumpahnya Darahku, menuntut kesetiaan dan pengorbanan dari setiap warga tanahair ini. Malaysia yang berdaulat hanya  dapat dipertahankan jika semua rakyat, tanpa mengira laterbelakang agama dan kaum, menumpahkan kasih yang tidak berbelah bahagi padanya. 

 

16. Bertolak dari situ, bekerja keraslah kita untuk membangunkan tanah hitam, tanah merah ini. Gigih kan usaha menyumbang kepadanya. Hidup lah dengan memberi sebanyak-banyaknya dan bukan menerima sebanyak-banyaknya dari tanahair ini. Nescaya, jika pengorbanan itu semua, taruhannya adalah nyawa dan darah jua, yakinlah, ia pasti akan diperkirakan sebagai amal soleh dan harum diingati dalam perjalanan sejarah bangsa.   

 

Tuan-tuan dan Puan-puan

 

17. Mari kita berdo’a kepada Allah SWT, mudah-mudahan bangsa Malaysia tetap jaya selamanya. Mudah-mudahan pemimpin-pemimpin kita diberi kekuatan dan pencerahan untuk memimpin beraneka ragam corak bangsa Malaysia. Semoga dengan iltizam yang tinggi dan istiqomah negara kita akan terus damai sejahtera, maju dan tenteram buat selamanya.

 

18. Kepada seluruh jajaran pemerintahan negeri dan negara, dan seluruh rakyat Malaysia di manapun berada, saya ingin menyampaikan ucapan terima kasih dan penghargaan yang tulus, atas sumbangan, dedikasi dan pengorbanan dalam menjayakan agenda pembangunan nasional selama ini.

 

Sekian, Selamat Hari Kemerdekaan.