1952 – 1955 : Dato' Syed Abd. Kadir bin Syed Mohamed

Menteri Besar Johor kelapan ini dilahirkan pada 5 Jun 1900.

Mula berkhidmat dengan kerajaan pada 9 Januari 1918 sebagai kerani kelas III di Pejabat Bandaran Muar. Beliau kemudian memangku jawatan kerani kelas IIB dan seterusnya disahkan dalam jawatan tersebut pada 1923.

Pada 6 Oktober 1925, Dato' Syed Abdul Kadir menjadi Setiausaha Pejabat Perbandaran Muar. Berikutan kebolehan dan kecekapannya yang terserlah, beliau dilantik sebagai Setiausaha Jabatan Bandaran Johor Bahru pada 1 Julai 1938 hinggalah tercetusnya Perang Dunia Kedua. Selepas perang, beliau diberi kepercayaan menjadi Yang Dipertua di jabatan yang sama.

Ketika di Muar, beliau terkenal sebagai tokoh yang bergiat dalam lapangan 'Persekutuan Bahasa Melayu' serta lapangan bahasa dan persuratan Melayu di Kelab Muar.

Beliau adalah penyokong kuat Dato' Onn dalam menentang penjajah, termasuklah ketika menubuhkan UMNO. Malah, beliau menjadi Menteri Besar dengan sokongan Dato' Onn sendiri pada Februari 1952. Beliau meninggal dunia pada 3 Jun 1960.

 

davispropertymanagement.com