MB QUOTES

Created: Tuesday, 15 December 2015 03:42
Hits: 259

Bajet Johor ‘Sedut’ Bajet Selangor?

Agak melucukan apabila baru-baru ini selepas Bajet Johor 2016 dibentangkan, ada pihak tampil mendakwa bahawa kita menyedut dan mencedok idea daripada Bajet Negeri Selangor 2016. 

 

Sejak bila agenda yang melibatkan pembinaan kapasiti, bersifat inklusif, lestari, pro rakyat dan berkesejahteraan ini menjadi hak ekslusif sesetengah pihak seperti Selangor? Semuanya adalah isu universal dan merentas sempadan.

 

 

Pertama, kita tidak pernah memandang Selangor sebagai perbandingan dan suri teladan yang baik untuk Johor. Selangor bukan ‘standard kita’. Johor telah berada dalam liga yang berlainan dan tersendiri. Kita akan menjadi kuasa ekonomi baharu Malaysia. Takkanlah untuk menjadi ekonomi paling maju di Malaysia, kita ingin mencontohi Selangor, sedangkan Singapura hanya 20 minit dari Johor Bahru.

 

Kedua, semak kembali Bajet Johor tahun 2015 dan 2014. Kita telah mula menggunakan pendekatan pembangunan dan pertumbuhan inklusif sebelum mana-mana negeri lain menggunakannya.

 

Kita mempunyai agenda yang terancang dan tidak pernah merangka Bajet Johor secara terpisah-pisah dan bercanggah dari perancangan sebelumnya. Hanya mereka yang tidak mahu mengakui pencapaian dan merit, akan menggunakan alasan dangkal untuk menidakkan sesuatu yang baik.

 

Ketiga, dalam Bajet 2016 ini terdapat 5 kategori perkara utama. Pertama, senarai projek atau inisiatif Kerajaan Persekutuan.Kedua, perkara-perkara yang sudah kita mulakan sebelum ini dan kini diteruskan dengan beberapa pemantapan seperti penambahan jumlah Rumah Mampu Milik Johor, penambahan program yang merancakkan Keusahawanan Johor serta penambahbaikan bantuan-bantuan menangani kos sara hidup golongan tertentu seperti nelayan, anak yatim serta dhuafa.

 

Ketiga, idea-idea baharu yang belum pernah dilakukan di mana-mana negeri lain. Misalnya, penubuhan Koperasi Orang Asli, pelaksanaan teknik Pengajaran dan Pembelajaran Berasaskan Teknologi Digital yang menyaksikan penggunaan iPad oleh sekolah agama, penubuhan Unit Swadaya Insan, Tabung Kemahiran Rakyat Johor, Pusat Perniagaan Antarabangsa, Zon Antarabangsa, penubuhan Kedai Harga Patut Muafakat Johor (imCoop) menggunakan instrumen gabungan 60 buah koperasi serta pelancaran buat kali pertama polisi alam sekitar negeri yang khusus iaitu Dasar Kelestarian Johor.

 

Kesemua ini adalah idea baharu yang terhasil dari kajian mendalam dan pemikiran yang serius. Tidak ada cedokan dan penyedutan daripada mana-mana bajet negeri lain. Apatah lagi dari Selangor dan Pulau Pinang. Kalau kita baca bajet mereka hari ini, esok kita sudah lupa akan kandungannya. Begitulah tidak menariknya nukilan mereka.

 

Keempat, adalah perkara-perkara lama yang pernah dilakukan di Johor dahulu dan kini diperkemaskan dengan konsep baharu. Misalnya, penubuhan Tabung Waqf dengan struktur pengurusan dan matlamat yang lebih berbeza berbanding dengan Wakaf An-Nur yang dimulakan sejak 2009. Iaitu lebih sedekad sebelum pembangkang itu sendiri hadir dan memerintah Selangor.

 

Kelima dan terakhir, adalah saranan serta perkongsian perancangan yang ingin kita terokai seperti ikthtiar menjadikan Johor sebagai Pusat Tamadun Melayu Serantau, Orkestra Klasik Kanak-kanak Johor dan Pelan Rejuvenasi Desa Johor. Kesemua ini sekali lagi adalah perkara-perkara yang unik dan ekslusif kepada Bajet Johor 2016.