AGENSI PELANCONGAN PERTINGKAT PROMOSI DESTINASI PELANCONGAN JOHOR, YOGJAKARTA

Print

YOGJAKARTA (INDONESIA), 21 Dis - Agensi-agensi pelancongan Malaysia dan Indonesia digesa mempertingkatkan lagi promosi destinasi pelancongan di kedua-dua negara itu.

 

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan Negeri Johor, Datuk Tee Siew Kiong berkata, promosi yang berterusan akan memberikan impak positif kepada kelangsungan industri pelancongan bagi kedua-dua belah pihak.

 

Beliau berkata Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) dan Association of The Indonesian Tours and Travel Agencies (ASITA) perlu menjalinkan kerjasama erat demi mencapai objektif tersebut.

 

“Promosi berterusan perlu, selain penawaran pakej-pakej pelancongan yang berdaya saing dan menarik.

 

"Sebagai contoh, kedua-dua agensi boleh menawarkan pakej 7 hari 6 malam, dengan 4 hari bagi percutian di Yogjakarta dan selebihnya di Johor," katanya pada sidang media sempena Program ‘Explore Johor’ di Hotel Royal Ambarrukmo, di sini, baru-baru ini.

 

Menurut Tee, kemudahan pelancongan seperti perkhidmatan penerbangan terus banyak memberi kelebihan kepada pelancong kedua-dua negara.

 

Keistimewaan itu tidak hanya mengeratkan hubungan kedua-dua negara, malah turut memungkin kerjasama yang serupa dengan negara-negara lain, tambahnya lagi.