PENERBANGAN TERUS JOHOR BAHRU - YOGJAKARTA TINGKAT KEMASUKAN PELANCONG

YOGJAKARTA (INDONESIA), 21 Dis - Kemudahan penerbangan terus Air Asia bagi laluan Johor Bahru-Yogjakarta-Johor Bahru membantu meningkatkan jumlah kemasukan pelancong bagi kedua-kedua negara.

 

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan Negeri Johor, Datuk Tee Siew Kiong berkata, penerbangan empat kali seminggu itu merupakan salah satu kerjasama serantau di antara kesatuan Asean dalam memperkembangkan industri pelancongan serantau.

 

“Promosi Johor melalui perkhidmatan penerbangan terus itu mampu memperluaskan lagi kuasa penawaran pelancongan kita di bandaraya utama seperti di Bandung dan Surabaya di Indonesia," katanya pada sesi promosi pelancongan Johor  di Hotel Royal Ambarrukmo, di sini, baru-baru ini.

 

Turut menyertai program promosi itu, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Datuk Abd. Latif Bandi, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nusajaya, Dr. Zaini Abu Bakar, ADUN Bukit Gambir, Datuk M Asojan dan Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Johor, Asman Shah Abdul Rahman.

 

Menurut Tee, usaha promosi yang telah dilancarkan sejak Julai 2014 lalu mendapat sambutan yang baik, apabila sejumlah 1,260,174 pelancong Indonesia berkunjung ke Johor menerusi 13 pintu masuk utamanya, termasuk laluan udara.

 

Beliau turut berkata, negeri Johor sangat sinonim dengan ikon-ikon pelancongan berstatus antarabangsa.

 

“Kita ada Legoland Malaysia, Hello Kitty, Angry Birds Park, Austin Height Theme Park serta Johor Premium Outlet.

 

“Kunjungan ke tempat-tempat ini akan merancakkan lagi permintaan dan penawaran agensi-agensi pelancongan berkaitan kebolehpasaran produk-produk pelancongan mereka,” katanya.

 

Program promosi bertemakan ‘Explore Johor’ merupakan misi penggalakan pelancongan Johor di Yogjakarta yang terkenal sebagai Kota Pelajar, Kota Budaya dan turut menerima pengiktirafan Kota Batik Sedunia oleh UNESCO.

davispropertymanagement.com