BANDAR PERSAHABATAN JOHOR-YOGJAKARTA

Print

YOGJAKARTA (INDONESIA), 21 Dis - Jalinan kerjasama ibarat persahabatan di antara Johor dan Yogjakarta dijangka mengukuhkan lagi kolaborasi pelancongan dan pelaburan bagi kedua-dua detinasi itu.

 

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan Negeri Johor, Datuk Tee Siew Kiong berkata, kerjasama erat di antara kedua negara itu membolehkan kedua-duanya mempromosikan produk pelancongan masing-masing.

 

“Johor dan Yogjakarta mempunyai banyak persamaan dari segi sejarah, budaya dan makanan yang boleh dikongsi dan dimanfaatkan bersama. Ibarat sebuah persahabatan yang amat erat.

 

“Malah, jumlah penduduk yang hampir sama iaitu lebih 3 juta juga dilihat berpotensi menyumbang kepada usaha untuk mempertingkatkan ketibaan pelancong kedua-duanya negara,” katanya sempena Program ‘Explore Johor’ di sini, baru-baru ini.

 

Tee berkata jumlah pelancong dari Indonesia mencatatkan peningkatan hampir 3.92 peratus iaitu seramai 875,347 pelancong bermula Januari hingga Ogos 2015, berbanding 842,338 pelancong dalam tempoh sama tahun lalu.

 

“Malah, jumlah pelancong dari Yogjakarta ke Johor juga turut mencatatkan peningkatan iaitu seramai 42,392 pelancong pada tahun ini bermula Januari hingga November, berbanding hanya seramai 22,682 pelancong dalam tempoh sama tahun lalu,” katanya.

 

Program ‘Explore Johor’ merupakan misi penggalakan pelancongan yang disertai oleh 55 delegasi termasuk agensi kerajaan berkaitan, agensi pelancongan, serta media tempatan.

 

Misi pelancongan 3 hari itu, diadakan pada 18 Disember lalu.