PROJEK LANDASAN BERKEMBAR ELETRIK (ETS) GEMAS-JOHOR BAHRU : APA YANG ANDA PERLU TAHU?

Print

NUSAJAYA, 14 Dis – Pembinaan Projek Landasan Berkembar Eletrik (ETS) Gemas-Johor Bahru akan melibatkan pembinaan sebanyak 11 stesen ETS yang merangkumi 3 kategori iaitu Stesen Utama, di Segamat dan Kluang, Stesen Secondary di Labis, Bekok, Paloh, Rengam, Layang-layang, Kulai dan Kempas Baru, Stesen Operasi dan Barang pula di Genuang dan Mengkibol.

 

Projek ini akan dimulakan pada Mac tahun hadapan yang membabitkan kos keseluruhan sebanyak RM7.13 bilion dan dijangka siap dalam tempoh empat tahun yang meliputi jajaran landasan sepanjang 197 kilometer.

Kos bagi Stesen Utama dianggarkan RM35 juta, Stesen Secondary RM20 juta dan manakala Stesen Operasi dan Barang, sekitar RM15 juta. 

 

Pembinaan landasan berkembar itu turut melibatkan sistem pembekalan elektrik 25 kilovolt, sistem semboyan dan komunikasi serta kawalan terus dari pusat kawalan dan pengurusan di KL Sentral dan Gemas.

 

Hadlaju rekabentuk bagi landasan berkembar ini adalah pada 160km/j dan hadlaju operasi pada 140km/j dan dilengkapkan lagi dengan sistem SPOT (Sistem Pengurusan Operasi Tren) dan STAR (Sistem Tiket dan Reservasi) dan UPS (Uninterruptible Power Supply).

 

Setiap koc akan mempunyai 346 / 312 tempat duduk dengan kekerapan 22 perkhidmatan sehari merangkumi perkhidmatan Antarabandar, perkhidmatan Ulang Alik dan perkhidmatan ETS.

 

Jangka masa bagi setiap perjalanan antara stesen dan keseluruhan stesen hanya akan dapat diketahui apabila kesemua stesen telah siap dibina dan beroperasi.

 

Projek ETS Gemas-Johor Bahru merupakan satu projek di bawah Kementerian Pengangkutan bagi menyediakan kemudahan pengangkutan awam berasaskan rel kepada orang awam disamping menghubungkan jaringan landasan berkembar elektrik sehingga ke Johor Bahru dari Gemas.

 

Jangkaan harga tambang untuk perkhidmatan set elektrik tren adalah berdasarkan kadar RM0.10 untuk kelas ekonomi, RM0.13 untuk kelas pertengahan dan RM0.2 untuk kelas pertama bagi setiap penumpang per kilometer akan digunapakai.

 

​Kadar tambang bagi perkhidmatan antarabandar adalah RM0.15 untuk kelas pertama, RM0.065 untuk kelas pertengahan dan RM0.0369 untuk kelas ekonomi bagi setiap penumpang perkilometer akan digunapakai.

 

​​Kadar bayaran bagi perkhidmatan barang adalah RM0.07 sehingga RM0.1 (bergantung jenis muatan) per ton-kilometer.

 

Maklumat Umum juga telah dijalankan oleh Unit Perancang Ekonomi Negeri Johor mulai 27 Oktober 2015 sehingga 26 Januari 2016 di 10 lokasi berikut:

 

a) Kementerian Pengangkutan Putrajaya

b) Ibu Pejabat SPAD

c) Stesen Keretapi Gemas

d) Stesen Keretapi Johor Bahru

e) Ibu Pejabat KTMB

f) Majlis Bandaraya Johor Bahru

g) Majlis Daerah Segamat

h) Majlis Perbandaran Kluang

i) Majlis Perbandaran Kulai

j) Pejabat UPEN Johor