MENTERI BESAR HADIRI TAHLIL KEMANGKATAN TUNKU LAKSAMANA

JOHOR BAHRU, 6 Dis - Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menghadiri majlis tahlil yang diadakan di Masjid Abu Bakar di sini, malam tadi, berikutan kemangkatan Tunku Laksamana Johor, Tunku Abdul Jalil Sultan Ibrahim.

 

Berangkat pada majlis itu, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim serta kerabat-kerabat diraja Johor.

 

Mohamed Khaled bergegas pulang ke tanahair dari menghadiri lawatan kerja ke Perancis sempena Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ke-21 (The 21st United Nations Climate Change Summit) sejurus menerima berita kemangkatan putera Sultan Johor itu semalam.

 

Beliau turut menzahirkan ucapan belasungkawa bagi pihak kerajaan negeri kepada baginda Sultan Johor.

 

Kemangkatan putera diraja Johor itu disifatkannya sebagai suatu peristiwa yang amat mendukacitakan, tidak hanya kepada rakyat Johor, tetapi juga rakyat seluruh negara. 

 

Katanya, ini kerana almarhum merupakan sumber aspirasi yang sentiasa memberikan tauladan yang terbaik kepada rakyat.

 

Keluhuran peribadinya banyak mendidik rakyat mengenai kepentingan mempunyai ketinggian dan kesantunan budi pekerti yang tinggi.

 

Malah, semangat kental almarhum sewaktu hidupnya wajar menjadi contoh tauladan bagi rakyat, tambahnya lagi.

Mohamed Khaled, yang juga Pengerusi Bersama Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), berlepas ke Perancis Rabu lalu (2 Disember) dan hanya dijadualkan pulang Selasa ini (8 Disember).

 

Turut serta dalam rombongan itu,  delegasi IRDA termasuk Ketua Eksekutifnya, Datuk Ismail Ibrahim.

davispropertymanagement.com