JAWATANKUASA RENTAS PARTI TANGANI ISU AIR TIDAK PERLU

NUSAJAYA, 30 Nov –Jawatankuasa rentas parti bagi menangani isu air tak perlu diwujudkan di Johor kerana bekalan air berjadual hanya melibatkan beberapa kawasan di Johor.

 

Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, cadangan mewujudkan jawatankuasa bipartisan itu hanyalah modal politik pembangkang untuk menarik populariti murahan.

 

“Apa yang berlaku adalah kesan fenomena alam semulajadi.

 

“Isu itu tidak mencapai tahap krisis kritikal, penyelesaiannya terletak pada kaedah saintifik dan kerajaan negeri telahpun mengambil langkah proaktif menanganinya,” katanya ketika menggulung perbahasan pada Sidang Dewan Undangan Negeri Johor di sini, hari ini.

 

Beliau berkata kerajaan negeri akur bahawa Johor berhadapan dengan masalah air tetapi ia bukanlah krisis yang telah sampai ke tahap yang sangat kritikal.

 

“Ia tertumpu di beberapa kawasan dan bukan melibatkan keseluruhan Negeri Johor,” katanya, sambil menambah terus berusaha untuk menyelesaikan masalah ini dengan pelbagai pendekatan serta mitigasi angka masa pendek dan jangka masa panjang.

 

“Pendekatan kita adalah untuk mengemukakan penyelesaian yang komprehensif dan dipacu oleh sains dan teknologi yang melibatkan kerjasama dan penglibatan pelbagai pihak, dari kerajaan pusat, universiti, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), persatuan pengguna, serta pelbagai agensi serta masyarakat,” jelasnya.

 

Beliau berkata kerajaan negeri juga sedang menyemak semula dasar dan memastikan regulasi industri air adalah pada tahap terbaik, merencana keperluan masa depan dengan menggunakan data empirikal serta melabur dalam prasarana dan teknologi terkini.

davispropertymanagement.com