PEMBANGKANG TIDAK TULUS MEMBENTANG USUL REZAB MELAYU

Print

Kota Iskandar, 30 Nov - Pihak Pembangkang dilihat tidak tulus dalam membentangkan usul mengenai harga tanah Rezab Melayu sebagai tidak kompetitif dan lebih murah di pasaran berbanding tanah lain.

 

Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin berkata, harga yang tidak terlalu tinggi ini sebenarnya mengingatkan pemilik agar tidak lekas untuk melepaskan pegangan tanah mereka hanya kerana tawaran harga yang tinggi.

 

“Sekalipun transaksi jualan masih ingin dilakukan, maka akan ada orang Melayu dalam pasaran yang berpeluang untuk menjadi pembeli dan mengekalkan status tanah tersebut,” katanya ketika membentangkan Usul Penggulungan Bajet Johor 2016 pada Persidangan Dewan Negeri Johor yang ke-13, di Bangunan Sultan Ismail, di sini hari ini.

 

Terdahulu, beliau menjawab soalan ADUN Bentayan, YB Encik Chua Wee Beng, yang seakan-akan mahu memastikan orang Melayu dikeluarkan sedikit demi sedikit dari pasaran dan liga hartanah dan dibiarkan tidak berupaya membeli dan memiliki set hartanah.

 

“Tanah Rezab Melayu adalah untuk memelihara identiti Melayu dan memastikan pemilikan Melayu kekal, dan boleh terus tinggal di kawasan strategik, di bandar dan berkepentingan komersial.

 

“Kehadiran dan maruah orang Melayu itu perlu terlihat, dirasai dan berperanan dalam kepesatan pembangunan Johor, maka dengan itulah ia akan menjadikan kita lebih dihormati, hebat dan tersanjung,” katanya.