PEMAJU PR1MA PERLU PATUHI DASAR PERUMAHAN RAKYAT JOHOR 2012

 

NUSAJAYA, 26 Nov-Pemaju projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) tidak terkecuali daripada Dasar Perumahan Rakyat Johor 2012 dan masih tertakluk kepada syarat yang ditetapkan oleh kerajaan negeri untuk membina Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ).

 

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Datuk Abd. Latif Bandi berkata, setiap negeri mempunyai dasar perumahan masing-masing yang wajib dipatuhi oleh pemaju-pemaju PR1MA. 

 

 

“PR1MA ditubuhkan pada 2012 dengan matlamat utamanya merancang, membangun dan membina rumah mampu milik untuk rakyat terutamanya yang terletak kawasan bandar dengan pendapatan isi rumah diantara RM2,500 hingga RM7,500.”

 

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan ADUN Kukup (BN), Suhaimi Salleh, dalam Mesyuarat Ketiga Bajet 2016 Penggal Persidangan Ketiga, di Dewan Negeri Johor, Nusajaya, hari ini.

 

Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin dalam pembentangan Bajet Johor 2016 baru-baru ini turut mengumumkan peningkatan sasaran pembinaan unit rumah kepada 60 ribu unit pada tahun 2019 daripada sasaran sebelumnya sebanyak 46 ribu.

 

Kerajaan negeri Johor telah memperkenalkan Dasar Perumahan Rakyat Johor 2012 yang berkuat kuasa pada 1 April 2012 bagi memastikan pemaju lebih menumpukan pembinaan rumah mampu milik.

 

Dasar baru tersebut menetapkan semua pemaju hartanah perlu mematuhi syarat 40 peratus kriteria pembinaan perumahan jenis itu bagi menyediakan perumahan yang selesa, kondusif dan mampu milik bagi rakyat Johor terutama di Iskandar Malaysia.

 

Mengikut dasar baru itu, pemaju perlu membina 20 peratus rumah mampu milik bertanah bernilai antara RM120,000 hingga RM150,000 membabitkan keluasan 1,000 kaki persegi, 10 peratus bagi perumahan komuniti bertanah atau strata bernilai RM80,000, lima peratus perumahan komuniti jenis strata bernilai RM42,000 dan lima peratus kedai kos sederhana bernilai RM200,000.

davispropertymanagement.com