PROJEK ETS GEMAS-JOHOR BAHRU MULA TAHUN DEPAN

NUSAJAYA, 26 Nov - Pembinaan Projek Landasan Berkembar Eletrik (ETS) Gemas-Johor Bahru akan dimulakan pada Mac tahun depan, membabitkan kos keseluruhan RM7.13 bilion.

 

Projek itu dijangka siap dalam tempoh empat tahun. 

 

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Johor, Datuk Ir Hasni Mohamed berkata, projek itu dijalankan dengan peruntukan RM100 juta oleh Kerajaan Pusat menerusi Bajet 2016. 

 

“Proses pengambilalihan dan pemindahan penduduk di kawasan-kawasan jajaran telah lama diselesaikan dan saya percaya projek itu tidak akan menghadapi sebarang masalah untuk dilaksanakan" 

 

Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada persidangan Dewan Negeri di Kota Iskandar, Nusajaya, hari ini. 

 

Sebanyak 11 stesen ETS akan dibina, merangkumi 3 kategori iaitu Stesen Utama, di Segamat dan Kluang, Stesen Secondary di Labis, Bekok, Paloh, Rengam, Layang-layang, Kulai dan Kempas Baru, Stesen Operasi dan Barang pula di Genuang dan Mengkibol.

 

Keseluruhan projek meliputi jajaran landasan sepanjang 197 kilometer.

 

Kos bagi Stesen Utama dianggarkan RM35 juta, Stesen Secondary RM20 juta dan manakala Stesen Operasi dan Barang, sekitar RM15 juta. 

 

Pembinaan landasan berkembar itu turut melibatkan sistem pembekalan elektrik 25 kilovolt, sistem semboyan dan komunikasi serta kawalan terus dari pusat kawalan dan pengurusan di KL Sentral dan Gemas. 

 

Beliau turut memaklumkan, kos pembinaan projek Rel Berkelajuan Tinggi (HSR) antara Kuala Lumpur dan Singapura hanya akan dapat diketahui apabila kata putus mengenai jajaran yang akan terlibat serta rekabentuk pembinaan stesen dimuktamadkan.

davispropertymanagement.com