ISMAIL - PERANGI ORANG TENGAH BUKAN TUGAS LPPNJ SEMATA-MATA

Print

KOTA ISKANDAR: Usaha-usaha memerangi orang tengah bukan sahaja terletak di bawah Lembaga Pertubuhan Peladang Negeri Johor (LPPNJ) tetapi juga melibatkan pelbagai  agensi lain di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

 

Perngerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani Negeri, Ismail Mohamed, berkata lembaga menjalinkan   kerjasama   erat   dengan   Pertubuhan-Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) dalam memastikan program Jihad Membasmi Orang Tengah itu dapat dilaksanakan dengan jayanya.

 

Beliau berkata ia juga mampu membantu   ahli-ahli   pertubuhan   peladang   memperolehi pendapatan yang lebih baik, tanpa melalui orang tengah.

 

Katanya, antara usaha-usaha yang dilakukan itu termasuk membina   Pusat   Pengumpulan   Hasil   Pertanian   (PPHP)   di setiap Pertubuhan  Peladang.  

 

“PPHP   bertujuan memasarkan  terus hasil  oleh   petani  atau  usahawan   peladang terus kepada   pengguna  dan   dalam masa yang   sama pengguna  dapat   membeli   dalam   harga yang lebih  murah dan  kompetatif. 

 

“Buat masa ini, sebanyak  26 buah  PPHP telah dibangunkan  dan  beroperasi   sepenuhnya,” katanya ketika menjawab soalan Zaiton Ismail (BN-Sg. Balang) mengenai keberkesanan program jihad memerangi orang tengah oleh LPP, pada Penggal Persidangan Ketiga Dewan Negeri Johor ke-13 di sini hari ini. 

 

Ismail berkata LPP juga  memberi   fokus kepada   Program   Kedai  Peladang  yang menjual   hasil-hasil   pertanian,   input   pertanian   serta   barang keperluan pengguna. 

 

Sebanyak 10   buah  kedai telah diwujudkan bagi memasarkan hasil pertanian ahli-ahli.

 

Selain itu, dua  buah  Fresh   Mart  juga sudah  beroperasi   menjual produk  segar  di  kawasan  bandar  dan   taman-taman perumahan.

 

“Pengguna boleh mendapatkan produk dengan harga yang lebih murah dan jaminan produk yang berkualiti.

 

“Ahli-ahli  yang   komited   dalam  pemasaran hasil   pertanian   dan   keperluan   pengguna   turut diberi   ruang   untuk berniaga di Pasar Peladang.

 

“Sehingga kini, terdapat dua buah pasar  yang beroperasi dalam skala besar iaitu di Pasar Peladang Skudai dan Pasar Peladang Pontian,” katanya.

 

Beliau menambah, LPP Johor juga turut terlibat dalam program mewujudkan empat buah Agro Bazar Rakyat yang menjual hasil  pertanian  segar   dan  barangan pengguna.