JOHOR CATAT FDI KEDUA TERTINGGI DI MALAYSIA

Print

NUSAJAYA, 24 Nov - Johor mencatat jumlah pelaburan terus asing (FDI) sebanyak RM7.9 bilion iaitu yang kedua tertinggi di Malaysia selepas Sarawak pada tahun 2014 berdasarkan laporan yang dikeluarkan oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA). 

 

Menteri Besar Johor, Dato' Mohamed Khaled Nordin berkata, Johor tidak mengkhususkan pertumbuhan ekonomi kepada satu industri atau bidang tetapi terbuka kepada 87 kawasan perindustrian yang menawarkan variasi pilihan pelaburan yang menjadi tarikan kepada pelabur.

 

"Ekonomi kita juga tidak bergantung sepenuhnya pada sektor perindustrian, hartanah serta minyak dan gas malah turut memberi perhatian kepada ekonomi tradisional dan inovatif seperti pembuatan, perabot, kesihatan, makanan, perkhidmatan, pertanian, dan pelancongan.

 

"Kerajaan negeri mempunyai dasar yang rapi dan tersusun dalam memastikan pertumbuhan ekonomi negeri melalui pelan pertumbuhan strategik, penglibatan masyarakat dalam bidang keusahawan dan memahirkan diri mereka di bawah Projek Johor Mahir, Dasar Kelestarian Johor serta Pelan Pembangunan Komprehensif Iskandar 2 yang akan dilancarkan pada tahun 2016.

 

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan ADUN Jorak, Datuk Dr. Shahruddin Md Salleh dan ADUN Nusajaya, Dr. Zaini Abu Bakar di Persidangan Dewan Negeri Johor yang ke 13 di Nusajaya, hari ini.

 

Tambahnya lagi, Johor perlu dijadikan sebagai pusat dan persidangan pertumbuhan ekonomi antarabangsa salah satunya dengan cara penubuhan Ibrahim International Business District (IIBD) bagi meransang aktiviti sektor pertanian, peruncitan, kewangan, perkhidmatan serta membuka peluang kepada pelaburan baru.

 

Pembangunan hartanah melalui pembinaan Keretapi laju yang menghubungkan Singapura dan Johor Bahru juga dilihat mampu menarik lebih ramai pelabur ke dalam negeri.

 

Berdasarkan laporan Pusat Pelaburan Johor (JSIC), jumlah keseluruhan FDI yang diterima oleh Johor sejak 2010 sehingga 2014 adalah RM29.5 bilion manakala bagi tahun 2015, sehingga September 2015, jumlah FDI adalah sebanyak RM2.3 bilion. 

 

Sehingga September 2015, Johor menerima jumlah pelaburan sebanyak RM30 bilion; jumlah tertinggi di dalam negara.