PREMIS RESTORAN TUTUP BUKAN GAMBARAN KEMEROSOTAN PENGUNJUNG LEGOLAND

Print

KOTA ISKANDAR:  Penutupan beberapa premis perniagaan di Medini Mall berhampiran taman tema Legoland tidak menggambarkan taman tema itu mengalami kemerosotan pengunjung.

 

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan Negeri, Datuk Tee Siew Kiong, berkata, strategi pemasaran dan promosi pihak Legoland berjaya merekodkan pertumbuhan pengunjung yang stabil.

 

Ini, jelasnya apabila strategi pemasaran dibuat di beberapa negara termasuk di Hong Kong dan Australia.

 

Katanya, kemerosotan dan penutupan premis-premis di pusat beli belah berkenaan kebanyakkannya adalah premis  berasaskan perniagaan makanan dan minuman.

 

“Legoland sendiri menyediakan premis menjual makanan dan minuman di dalam kedua-dua taman temanya.

 

“Ini ditambah dengan polisi pihak pengurusan Legoland yang menetapkan larangan membawa makanan dan minuman dari luar,” katanya, ketika menjawab soalan Datuk Maulizan Bujang (BN-Tiram), pada Penggal Persidangan ketiga Dewan Negeri Johor ke-13 di sini hari ini.

 

Katanya, pihak pengurusan Medini Mall perlu menyesuaikan kembali strategi pemasaran perniagaan dalam memastikan penyewa-penyewa yang beroperasi meraih pulangan keuntungan yang sesuai.

 

“Medini Mall perlu sesuaikan kembali strategi pemasaran perniagaan dalam memastikan penyewa mempunyai nisbah pulangan yang sesuai dan tidak bertindih dengan jenis perniagaan yang telah ada di dalam Legoland.

 

“Ini penting bagi memastikan perniagaan yang dijalankan dapat berkekalan dan menerima limpahan ekonomi daripada pengunjung taman tema itu,” katanya.