MB - PERUNTUKAN MENYELURUH DALAM BAJET JOHOR 2016

Print

GELANG PATAH: Bajet Johor 2016 yang dibentangkan khamis lalu menyentuh segenap lapisan rakyat, seiring dengan temanya Inklusif, Lestari dan Sejahter Untuk Johor.

 

Menteri Besar, Dato’ Mohamed Khaled Nordin berkata, kesemua 119 titik sentuhan yang dibentang dalam belanjawan itu diharap dapat meningkatkan kesejahteraan rakyat secara lebih menyeluruh.

 

“Pertumbuhan ekonomi Johor menunjukkan angka yang lebih baik berbanding kadar nasional, dengan peningkatan dari 4.5 peratus kepada 5.5 peratus.

 

“Pertumbuhan positif ini disokong dengan kutipan hasil negeri sehingga November 2015 direkodkan sebanyak RM1.3 bilion, melebihi anggaran tahun ini sebanyak RM1.2 bilion.

 

“Johor juga muncul sebagai negeri yang paling banyak menerima pelaburan berbanding negeri lain,” katanya ketika merasmikan Program Semarak Johor, disini, malam tadi.

 

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Jais Sarday, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), Mohamad Abu Bakar, serta Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Sayangi Gelang Patah, Khairi A.Malik.

 

Mohamed Khaled berkata, salah satu fokus bajet kali ini adalah tumpuan kepada soal penyediaan rumah mampu milik Johor, dengan penambahan sasaran 60,000 unit menjelang 2019.

 

“Kerajaan Negeri akan melaksanakan Skim Subsidi Pembinaan / Pembaikan Rumah bagi mereka yang berhasrat membina dan membaiki kediaman di atas tanah milik sendiri, pinjaman ini tidak perlu dibayar oleh mereka yang meminjam dan subsidi akan diberi kepada mereka yang berjaya dalam skim ini,” katanya.

 

Beliau menambah usahasama turut dijalankan dengan Ambank Islamic Bhd bagi menyediakan tabung untuk membantu peminjam yang gagal mendapat kelulusan pinjaman bank, membabitkan peruntukan berjumlah RM300 juta.

 

Turut diberi perhatian, menangani peningkatan kos sara hidup, antaranya meliputi penyediaan laluan percuma Bas Johor di Hatiku di empat buah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Kedai Harga Patut imCoop serta pelaksanaan Pusat Pembangunan Pertanian Bandar.

 

Sementara itu, pada majlis perasmian Semarak Johor malam tadi, beliau turut menegaskan tentang kepentingan untuk menghebah dan menyampaikan maklumat yang tepat kepada masyarakat.

 

“Masyarakat perlu mengenali setiap agensi kerajaan agar mereka faham peranan dan tugas agensi-agensi yang bertanggungjawab ini untuk menghebah dan menyampaikan maklumat yang tepat pada setiap masa dan tempat,” katanya.

 

Beliau menambah, setiap masyarakat perlu mendukung kepercayaan dan amanah untuk menentukan dasar dan program yang akan menyumbang kepada kesejahteraan rakyat.