JOHOR UMUM PERUNTUKAN BAJET PEMBANGUNAN TERTINGGI DALAM SEJARAH

KOTA ISKANDAR, 19 Nov – Kerajaan Johor hari ini mengumumkan peruntukan belanjawan pembangunan tertinggi dalam sejarah pentadbirannya apabila memperuntukkan lebih setengah bilion dalam Bajet Johor 2016 bertemakan Inklusif, Lestari dan Sejahtera Untuk Johor.

 

Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin berkata sejumlah RM541.10 juta diperuntukkan bagi perbelanjaan pembangunan, kenaikan 47.76 peratus berbanding RM366.20 juta yang disediakan pada bajet tahun lalu.

 

Beliau berkata bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi negeri, sejumlah RM213 juta diperuntukkan bagi tujuan pembangunan projek dan program sektor itu, RM95.1 juta untuk meningkatkan kemudahan infrastruktur dan pentadbiran, manakala RM33 juta lagi dikhaskan kepada pembiayaan projek-projek pengairan dan saliran.

 

Program pembangunan fizikal, sosial dan projek-projek berkepentingan awam pula bakal menerima peruntukan sebanyak RM155 juta, sementara RM45 juta lagi disediakan untuk pembangunan agama Islam, katanya ketika membentangkan belanjawan itu pada Persidangan Dewan Negeri Johor yang ke-13 di Bangunan Sultan Ismail, di sini hari ini.

 

Kerajaan negeri juga memperuntukkan sejumlah RM904.11 juta untuk Perbelanjaan Tanggungan dan Bekalan jabatan-jabatan kerajaan, manakala RM520.00 juta lagi dikhususkan sebagai caruman kepada Kumpulan Wang Pembangunan.

 

Bajet kali ini memberi tumpuan kepada enam fokus iaitu mengutamakan kesejahteraan rakyat, merancakkan pertumbuhan ekonomi negeri, menangani peningkatan kos sara hidup dan memperkasakan aspek keusahawanan berasaskan inovasi dan pengetahuan.

 

Turut diberi tumpuan, mengangkat Agenda Johor Lestari dan meneruskan agenda pendidikan berkualiti dan pembangunan swadaya insan.

 

Mohamed Khaled berkata, bajet kali ini merupakan manifestasi pengiktirafan kerajaan negeri di atas segala kerja keras, pengorbanan dan sokongan rakyat Johor selama ini. 

 

“Kerja keras dan sokongan yang tidak berbelah bahagi inilah yang telah banyak menyumbang kepada Johor yang semakin membangun, berdaya saing dan sejahtera,” katanya.

 

Kutipan hasil kerajaan negeri sehingga 17 November 2015 direkodkan sebanyak RM1,345.08  juta atau 108.54 peratus.

 

Kutipan itu dijangka meningkat kepada RM1,425.66 juta, menokok 15.04 peratus tahun depan.

 

Ini membolehkan Johor mencatatkan belanjawan lebihan bernilai RM1.556 juta pada tahun depan dan mengekalkan belanjawan lebihan tahunan kelima berturut-turut sejak 2012.

 

Ekonomi Johor dijangka mengekalkan pertumbuhan melebihi unjuran nasional 6 peratus setahun.  Pertumbuhan ekonomi negeri itu direkodkan pada paras 6.5 peratus pada 2014.

 

Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Johor dijangka bertumbuh pada paras 5.5 peratus pada 2016, berlandaskan unjuran kemasukan pelaburan asing dan domestik yang tinggi sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

 

Sehingga September tahun ini, Johor merekodkan nilai pelaburan tertinggi di peringkat nasional apabila menerima pelaburan asing dan tempatan sehingga RM30 bilion. 

 

Menurut Mohamed Khaled, sinergi kerjasama di antara kerajaan persekutuan dan negeri membolehkan momentum pelaburan yang konsisten dan bernilai tinggi.

 

“Semua pencapaian ini membuktikan wujudnya keyakinan tinggi di kalangan para pelabur untuk hadir, bertapak, melabur dan melebarkan operasi mereka di Johor.

 

“Kerajaan negeri akan terus berusaha memastikan segala perancangan ekonomi dan pembangunan negeri dirancang dengan rapi, lestari dan strategik menerusi tadbir urus yang diyakini dan berwibawa,” katanya.

 

Beliau menambah, di samping meningkatkan pelaburan, bajet kali ini turut  mengurangkan segala perbelanjaan yang tidak perlu dan meminimumkan pinjaman.

davispropertymanagement.com