AGENDA BUMIPUTERA TURUT JADI TUMPUAN BAJET JOHOR 2016

Print

KOTA ISKANDAR 19 Nov – Kerajaan negeri terus komited melaksanakan agenda bumiputera khasnya dalam meningkatkan ekuiti pegangan orang Melayu di kawasan bandar.

 

Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin berkata antara langkah yang akan dilaksanakan adalah pengambilalihan tanah bagi dijadikan tapak pembangunan perumahan Bumiputera serta Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) di bandar.

 

Katanya, perlaksanaan itu akan melibatkan peruntukan sebanyak RM 150 juta.

 

“Sebanyak tiga Taman Perbadanan Islam baharu akan diwujudkan di Pasir Gudang, Muar dan Stulang Baru, meliputi sasaran pembinaan sebanyak 1,330 unit rumah,” katanya ketika membentangkan Bajet Johor 2016 pada Persidangan Dewan Negeri Johor yang ke-13 di Bangunan Sultan Ismail, di sini hari ini.