60,000 RUMAH RAKYAT MENJELANG 2019.

Print

KOTA ISKANDAR 18 Nov – Kesungguhan Kerajaan Negeri membina lebih banyak rumah mampu milik untuk keselesaan rakyatnya dibuktikan melalui pembentangan Bajet Johor 2016.

 

Menteri Besar, Dato’ Mohamed Khaled Nordin, ketika membentangkan bajet bertemakan Inklusif, Lestari dan Sejahtera Untuk Johor itu, menyenaraikan pelbagai inisiatif kerajaan negeri bagi memenuhi permintaan ke atas penyediaan rumah di Johor.

 

“Sasaran pembinaan rumah mampu milik sebanyak 46,000 rumah, kini ditingkatkan kepada 60,000 rumah menjelang 2019.  Sasaran itu merangkumi jumlah rumah yang akan dibina oleh kerajaan negeri dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC),” katanya ketika membentangkan Bajet Johor 2015 pada Persidangan Dewan Negeri Johor yang ke-13 di Bangunan Sultan Ismail, di sini hari ini.

 

Mohamed Khaled berkata Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ) akan membina 1,083 buah rumah, melibatkan pembinaan 493 rumah di Kulai, Desa Larkin (280), Kg. Melayu Pandan (260) dan 50 unit lagi di Kota Tinggi.

 

Katanya, Yayasan Pelajaran Johor Holdings (YPJH) pula akan membina 1,179 unit di Pengerang.

 

Anak syarikat JCorp, Johor Land Sdn Bhd, juga membina jumlah keseluruhan 1,056 unit rumah, meliputi 500 unit di Bandar Dato’ Onn, Bandar Baru Majidee (400) dan 156 unit lagi di Mersing.

 

Manakala, 1,035 buah rumah akan dilaksanakan pembinaannya oleh Perbadanan Islam Johor Holdings (PIJH), merangkumi 344 buah di Labis, Stulang Baru (333), Larkin (121), Jalan Datin Halimah (71), Teluk Jawa (106) dan 60 buah di Bandar Baru UDA.

 

Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA) juga dijadual membina sebanyak 691 buah rumah, iaitu 486 buah di Bandar Penawar, Layang-Layang (127) dan 78 buah di Kampung Tuan Seh. 

 

Menurut Mohamed Khaled, bagi meningkatkan ketelusan dan keberkesanan pengagihan, penambahbaikan sistem agihan pemilikan rumah juga akan turut dilakukan. 

 

“Mulai tahun hadapan, pendaftaran dan permohonan RMMJ perlu dibuat di atas talian di www.erumah.johor.gov.my, sementara dokumen sokongan hanya perlu dikemukakan setelah pemohon menerima tawaran.

 

“Selain membina lebih banyak rumah mampu milik, kerajaan negeri akan menjalankan program pembinaan Rumah Mesra rakyat Johor (RMRJ), yang pembinaannya dipertanggungjawabkan kepada KPRJ,” ujarnya.

 

Program tersebut dilaksanakan dengan memberi subsidi bagi membantu mereka yang berhasrat membina dan menambah baik kediaman di atas tanah milik sendiri. 

 

Sebanyak RM 20 juta akan diberikan melalui tiga skim bantuan berdasarkan harga dan keluasan rumah.

 

Bantuan sebanyak RM10,000 diberikan bagi pembinaan rumah rumah berharga RM64,000 seunit, RM12,500 (rumah berharga RM72,500 seunit) dan RM15,000 bagi rumah berharga RM85,000 seunit.

 

Bajet kali ini juga membawa berita gembira buat penjawat awam Johor apabila kerajaan negeri, menerusi YPJH, memperuntukkan sebanyak 1,194 unit rumah menerusi inisiatif Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) di Bandar Akademi YPJ di Kota Tinggi dan Pengerang. 

 

Asnaf zakat di bawah kawalselia Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) pula berpeluang menerima manfaat dari belanjawan terbaharu ini.  

 

Sejumlah RM27 juta diperuntukkan bagi golongan itu, apabila sebanyak 250 unit rumah baharu bakal dibina di seluruh Johor.

 

Selain itu, peruntukan tersebut turut meliputi usaha baikpulih ke atas 100 buah rumah milik asnaf, Program Rumah Transit secara sewa beli dan pembinaan 32 unit rumah baharu di Bukit Kepong dan masing-masing 20 unit di Segamat dan Kota Tinggi.

 

Bagi golongan berpendapatan rendah, Skim Pembiayaan Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) yang akan dilaksanakan dengan kerjasama AmBank Islamic Berhad. Dana berjumlah RM300 juta disediakan bagi pembiayaan skim itu.

 

Projek Perumahan Rakyat (PPR) pula membabitkan pembinaan 500 buah rumah di Bandar Tenggara, melibatkan kos berjumlah RM65 juta.

 

Dalam pada itu, Mohamed Khaled meminta agar kerajaan persekutuan mempertimbangkan permohonan untuk membina lebih banyak PPR di kawasan berkepadatan tinggi seperti di Johor Bahru dan Mersing.