TUMPUAN KHAS BASMI SETINGGAN

Print

KOTA ISKANDAR, 19 NOV – Tumpuan khusus akan diberikan bagi menyelesaikan masalah setinggan di Johor.

 

Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin berkata, pelbagai usaha telah dijalankan untuk mengenal pasti kawasan-kawasan setinggan yang boleh dikurniakan hakmilik melalui Jawatankuasa Taskforce Perumahan Negeri Johor yang telah ditubuhkan di setiap daerah.

 

Katanya, tiga insiatif akan dilaksanakan tahun hadapan bagi menyelesaikan isu setinggan. 

 

“Kita akan mengeluarkan senarai nama kampung dan kawasan setinggan yang bakal memperoleh hakmilik tanah.

 

“Proses susulan juga akan dilakukan berkaitan pengambilalihan tanah di Kem Tebrau melibatkan pemilikan 136 penduduk Kampung Desa Perwira,” katanya ketika membentangkan Bajet Johor 2015 pada Persidangan Dewan Negeri Johor yang ke-13 di Bangunan Sultan Ismail, di sini hari ini.

 

Kerajaan negeri juga akan meluluskan 4,560 pemohon, terdiri daripada 4,213 pemohon tanah pertanian dan 347 pemohon tapak bangunan kediaman atau rumah kedai. 

 

Mohamed Khaled berkata kelulusan permohonan itu akan melibatkan pemberian 23 kawasan, di mana 5,540 ekar daripadanya merupakan tanah pertanian manakala 20ekar tapak rumah kediaman dan kedai.

 

Kawasan-kawasan terlibat membabitkan daerah Kulai, Kluang, Labis dan Kota Tinggi.