BAJET JOHOR 2016 BENTANG PROGRAM AIR PERCUMA

Print

 

KOTA ISKANDAR, 19 Nov – Program Air Percuma turut diumumkan pada pembentangan Bajet Johor 2016, melibatkan para penerima dari kumpulan eKasih di bawah seliaan Jabatan Kebajikan Masyarakat serta Jabatan Kemajuan Orang Asli.

 

Kira-kira 5,000 orang daripada golongan itu bakal menikmati kemudahan tersebut, yang memerlukan peruntukan berjumlah RM3 juta.

 

Menteri Besar, Dato’ Mohamed Khaled Nordin berkata program itu bakal dilaksanakan Syarikat Air Johor (SAJ) menerusi pemberian air percuma sebanyak 25 meter padu kepada kumpulan sasaran itu di seluruh Johor.

 

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Bajet Johor 2016 pada Persidangan Dewan Negeri Johor yang ke-13 di Bangunan Sultan Ismail, di sini hari ini.

 

Sementara itu, Mohamed Khaled juga mengumumkan Kajian Bekalan Air yang bakal dilaksanakan Badan Kawal Selia Air Johor (BAKAJ), bertujuan memastikan bekalan air mapan dan mengenalpasti kaedah pengawalan bekalan air serta pelaksanaan zon penampan di kawasan tadahan air.

 

Katanya, bagi meningkatkan prasarana bekalan air, beberapa projek akan dilaksanakan oleh Pengurusan Aset Air Berhad, termasuk pembinaan loji-loji rawatan air di Buluh Kasap, Segamat, Pagoh, Muar, Kahang dan Kluang.

 

Projek penggantian paip lama pula akan terus dilaksanakan, membabitkan peruntukan berjumlah RM430 juta.

 

Selain itu, sebanyak RM57 juta diperuntukkan untuk tujuan pembangunan sumber air, merangkumi kajian kemungkinan pembangunan aset itu ke Wilayah Pembangunan Iskandar Malaysia dan di Lembangan Sungai Muar.

 

Peruntukan itu juga bakal digunakan bagi perlaksanaan Kajian Kemungkinan dan Impak Alam Sekitar bagi pembinaan Empangan Mersing, serta pembangunan infrastruktur seperti pembinaan dan naiktaraf baraj dan empangan.

 

Mohamed Khaled menambah, semua usaha ini dilakukan bagi tujuan mempertingkatkan mutu perkhidmatan bekalan air di negeri itu agar dapat mengatasi pelbagai kemelut berkaitan bekalan air yang melanda, seperti yang berlaku di Pasir Gudang dan Pengerang.