KERAJAAN NEGERI SEDIA PELAN PEMBANGUNAN BEKALAN AIR 50 TAHUN

Print

JOHOR BAHRU – Kerajaan Negeri sedang merangka pelan pembangunan bekalan air 50 tahun bagi memastikan pembekalan aset itu yang efisien seiring dengan arus pembangunan negeri yang pesat membangun.

 

Menteri Besar Johor, Dato' Mohamed Khaled Nordin berkata, pelan itu penting kerana tanpa jangkaan keperluan dan pembekalan air yang terancang boleh menjejaskan kehidupan rakyat.

 

"Pembangunan pesat seperti di Pasir Gudang mengakibatkan pertambahan penduduk dan apabila timbul kemelut mengenai air disebabkan masalah perubahan cuaca, para pengguna akan terjejas.

 

“Kita perlukan perancangan yang baik bagi mengatasi masalah yang timbul serta berusaha mengelakkan perkara yang sama daripada berlaku di kawasan lain,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Johor Water Forum (JWF) 2015 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor. 

 

Mohamed Khaled turut menegaskan bahawa Johor tidak berdepan dengan krisis air kerana gangguan pembekalan air hanya membabitkan Pasir Gudang dan beberapa kawasan di Kota Tinggi.

 

Malah, Sistem Bekalan Air (BAB) yang dilaksanakan oleh Syarikat Air Johor (SAJ) telah berjaya memanjangkan tahap air di empangan-empangan air terbabit dengan kawasan itu.

 

“Tanpa sistem itu, kita sudah tentu tidak mempunyai bekalan air untuk disalurkan kepada kawasan-kawasan terbabit,’ katanya, sambil menambah JWF adalah satu lagi langkah yang dijalankan Kerajaan Negeri bagi mencari penyelesaian terbaik mengatasi masalah itu. 

 

Bertemakan “Arah Tuju Masa Depan Kelestarian Sumber Air Johor,” persidangan itu juga bertujuan mengenalpasti cadangan dan teknologi terkini berkaitan sumber baharu bekalan air mentah.

 

Ia dianjurkan oleh Kerajaan Negeri, bersama Badan Kawal Selia Air Johor (BAKAJ), Unit Perancang Ekonomi Johor, Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia dan Institut Jurutera Malaysia (Cawangan Selatan).