MB – DASAR KELESTARIAN JOHOR DIWUJUDKAN

Print

BATU PAHAT: Kerajaan Negeri akan mewujudkan Dasar Kelestarian Johor sebagai langkah memastikan kelestarian alam di negeri ini terus terpelihara.

 

Menteri Besar, Dato’ Mohamed Khaled Nordin berkata, dasar itu akan menjadi panduan bagi menguruskan sumber asli secara berkesan.

 

“Di bawah dasar ini, Majlis Teknologi Hijau dan Perubahan Iklim (MTHPI)ditubuhkan untuk menyelia perancangan dan pelaksanaan inisiatif alam sekitar yang berkaitan.

 

“Ini termasuk projek-projek berprofil tinggi seperti Pelan Masyarakat Rendah Karbon, Santuari Gajah Johor dan Santuari Dugong,” katanya ketika Persidangan Antarabangsa Biodiversiti 2015 dan  Majlis Ulangtahun ke-22 Perbadanan Taman Negara Johor.

 

Beliau turut mengumumkan bahawa Kerajaan Negeri akan menubuhkan Kumpulan Wang Amanah Haiwan Liar sebagai langkah untuk menyokong semua usaha-usaha pemuliharaan hidupan liar di seluruh negeri Johor.

 

Mohamed Khaled berkata, usaha-usaha ke arah memastikan pemuliharaan biodiversiti bukan hanya terletak di bahu Kerajaan Negeri serta agensi berkaitan alam sekitar, tetapi ia adalah tangggungjawab semua pihak.

 

Katanya, pemuliharaan biodiversiti memerlukan kerjasama pelbagai pihak berkepentingan sama ada individu, kerajaan, swasta, masyarakat awam, media, masyarakat setempat dan organisasi antarabangsa.