KERAJAAN NEGERI SASAR 42,000 UNIT RUMAH RMMJ SIAP 2018

Kerajaan Negeri mensasarkan untuk membina sebanyak 42 ribu unit rumah mampu milik yang dijangka siap pada tahun 2018 yang merangkumi 3 jenis iaitu Perumahan Komuniti A, Perumahan Komuniti B, dan Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ).

 

Menurut Menteri Besar Johor, Dato' Mohamed Khaled Nordin, ini merupakan sebahagian daripada pelan pembangunan pro-rakyat yang dilakukan oleh Kerajaan Negeri dalam memastikan golongan yang berpendapatan sederhana terutamanya orang melayu mampu memiliki rumah idaman mereka di kawasan bandar.

 

"kita akan memastikan dalam setiap pembangunan, golongan - golongan kurang berkemampuan tidak akan tercicir, dimana ukuran kepada pembangunan bukan hanya terletak pada angka tetapi kepada kepuasan rakyat.

 

"konsep muafakat yang dibawa kerajaan negeri akan dapat dilaksanakan dengan menempatkan orang - orang melayu di bandar dimana rakyat dari pelbagai latar belakang dapat tinggal bersama di dalam satu kawasan".

 

Perumahan Komuniti A dijual pada harga RM42,000, Perumahan Komuniti B dijual pada harga RM80,000 manakala RMMJ dijual pada harga RM150,000.

 

Sehingga kini, lebih lima ribu unit rumah telahpun berjaya disiapkan dan 6 ribu unit rumah lagi akan ditambah pada tahun hadapan.

 

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Perbadanan Islam Larkin anjuran Kumpulan PIJ Holdings Sdn Bhd yang turut dihadiri oleh Ahli Parlimen Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Abdul Samad.

 

Tambahnya, bagi kawasan Perbadanan Islam Larkin, sebanyak 121 unit rumah RMMJ akan dibina dan dijual pada harga RM139,000 yang telah disubsidikan sebanyak RM11,000.

 

Ia berkonsepkan Taman Perbadanan Islam yang meliputi RMMJ, apartmen, Apartmen Eksklusif dan Kedai Pejabat dengan kemudahan Surau dan Balairaya.

 

Dalam pada itu, menurut Pengarah Urusan PIJ Holdings Sdn Bhd, Rozan Mohd Sa'at, sebanyak 5500 unit rumah berkonsepkan Taman Perbadanan Islam kini dalam perancangan PIJ yang meliputi enam kawasan iaitu di Teluk Jawa, Pasir Gudang, Stulang, Larkin Bomba, Muar dan Rengit, yang dijangka siap dalam tempoh empat hingga lima tahun.

davispropertymanagement.com