JOHOR BAKAL TUBUH PUSAT TAMADUN MELAYU BERSTATUS GLOBAL

Print

JOHOR BAHRU: Johor bakal menubuhkan Pusat Tamadun Melayu, berperanan sebagai sumber rujukan mengenai ketamadunan Melayu yang bertaraf global. 

 

Menteri Besar, Dato’ Mohamed Khaled Nordin berkata, penubuhan pusat itu penting untuk mengkaji budaya, nilai dan tamadun Melayu serta memahami tentang pemikiran orang Melayu.

 

“Kita perlu memelihara dan mengembangkan segala identiti dan khazanah bangsa. Hari ini, untuk melakukan yang sama, kita perlu merujuk sehingga ke Leiden, Belanda, memandangkan kebanyakan khazanah persuratan mengenai bangsa Melayu ada di sana”.

 

“Malah, kita ada Kerusi Pengajian Melayu yang ditaja di University of Leiden tetapi tidak di universiti awam kita, sedangkan di sini terdapat sumber dan bahan terbaik untuk dilihat dan diselidiki," katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Tamadun Melayu Johor, di sini, malam tadi.

 

Hadir sama, Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor Dato’ Abdul Rahim Ramli, Speaker Dewan Negeri Tan Sri Mohamad Aziz, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Kebudayaan dan Warisan Dato’ Zulkurnain Kamisan dan Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Ismail Karim.

 

Persidangan selama tiga hari itu berakhir esok dan disertai oleh pemakalah dan peserta dari Brunei, Indonesia dan Singapura dan Malaysia.

 

Pada majlis tersebut, Mohamed Khaled turut melancarkan dua buah buku, Dirgahayu Bahasa Istana Johor, karya Pensyarah Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya Dr. Salinah Jaafar dan Hikayat Johor dan Tawarikh Almarhum Yang Mulia Ibrahim Sultan Johor, hasil nukilan Pensyarah Universiti Malaysia Sabah, Prof Madya Dr A. Rahman Tang.

 

Turut dilancarkan, Skuad Sukarelawan Darul Ta’zim yang ditubuhkan di bawah Unit Seni Budaya, Yayasan Warisan Johor.