100 ORANG KURANG BERKEMAMPUAN TERIMA BANTUAN

PASIR GUDANG: Bersempena dengan perayaan Deepavali, seramai 100 orang golongan kurang berkemampuan menerima bantuan wang tunai dan keperluan asas dapur yang diberikan oleh Yayasan Pasir Gudang (YPG). 

 

Menteri Besar Johor, Dato' Mohamed Khaled Nordin berkata, Kerajaan akan sentiasa prihatin dengan kebajikan masyarakat yang kurang berkemampuan tanpa mengira latarbelakang mereka dan memastikan rakyat sentiasa diberi keutamaan dalam pemberian manfaat.

 

Beliau yang juga Pengerusi YPG berkata bantuan ini merupakan sebahagian daripada usaha Kerajaan meringankan beban tanggungan mereka selain membantu persiapan mereka menghadapi perayaan tersebut.

 

"Ini merupakan pelengkap kepada usaha - usaha yang dilakukan oleh Kerajaan Negeri dalam kita berhadapan pembangunan pesat, kita dapat memastikan golongan yang kurang berkemampuan ini tidak ketinggalan dan rakyat berada dalam keadaan yang sejahtera.

 

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Penyerahan Sumbangan dan Bantuan Sempena Perayaan Deepavali 2015 yang dianjurkan oleh YPG dengan kerjasama Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) di Taman Cendana pada Sabtu.

 

"Mereka yang diberi bantuan tidak tertumpu kepada golongan masyarakat India sahaja malah melibatkan kaum - kaum lain, ini merupakan salah satu gagasan yang dibawa oleh Kerajaan Negeri untuk melahirkan permuafakatan diantara kaum". 

 

Penerima bantuan terdiri daripada ibu tunggal, orang kelainan upaya (OKU), keluarga miskin, dan pesakit kronik yang tinggal di wilayah MPPG yang menerima bantuan wang tunai sebanyak RM100 dan keperluan dapur bernilai RM100.

 

YPG ditubuhkan dengan tujuan membantu mengurangkan tekanan kemiskinan bandar yang berada di bawah pentadbiran MPPG pada 3 Oktober 2015 di bawah Akta Pemegang Amanah (Pemerbadanan) 1952.

 

Ini merupakan kali ke 6 penganjuran seperti ini diadakan oleh YPG.

davispropertymanagement.com