PERBEZAAN ADALAH KEISTIMEWAAN YANG PERLU DIRAIKAN, GESA MB

Print

JOHOR BAHRU: Rakyat berbilang kaum di negara ini perlu meraikan perbezaan dan kepelbagaian yang ada demi muafakat bersama.

 

Menteri Besar, Dato' Mohamed Khaled Nordin berkata, kerajaan tidak mahu asimilasi di antara kaum menjadi penghalang kepada kemajuan negara.

 

“Kita perlu memupuk sikap toleransi dan saling bekerjasama di antara semua kaum, kerana inilah yang mampu menjamin kehidupan rakyat yang aman dan harmoni,” katanya pada Majlis Penutup Mikro Film ‘Saya Anak Malaysia’ di sini, baru-baru ini.

 

Turut hadir, Pengerusi Gabungan Persatuan Tiong Hua Pasir Gudang, Ang Ah Ngo serta Pengerusi Lembaga Pengurus Kolej Universiti Southern, Datuk Teo Ah Khiang.

 

Mohamed Khaled turut berkata, filem dapat memberi sumbangan yang boleh membawa manfaat kepada semua kerana sifatnya yang kreatif dan sarat dengan mesej.

 

“Melalui penganjuran pertandingan filem pendek sebegini, kita dapat berkongsi pandangan dan pendapat dari anak-anak muda yang boleh membawa transformasi demi kemajuan negara,” katanya.

 

Pada majlis itu, Mohamed Khaled turut menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan filem pendek bertemakan ‘Saya Anak Malaysia’ yang diadakan bersempena sambutan Hari Kemerdekaan tahun ini.

 

Sebanyak 23 penyertaan diterima hasil cetusan idea kreatif anak-anak muda kaum Tionghua yang menggabungkan semua kaum dalam penghasilan filem pendek tersebut.