PUSAT DATA SETEMPAT TINGKAT NILAI TAMBAH KEPADA EKONOMI JOHOR

NUSAJAYA: Pengwujudan pusat data di negeri ini dijangka memberikan nilai tambah yang besar kepada kepesatan dan pertumbuhan ekonomi di Johor.

 

Menteri Besar, Dato Mohamed Khaled Nordin berkata, pemilihan Iskandar Malaysia sebagai lokasi untuk projek pusat data bertepatan dalam usaha meningkatkan daya saing yang sihat kepada pembangunan dan operasi pusat-pusat data yang setaraf dengan Singapura dan Jepun.

 

Katanya, dengan fasiliti dan sekuriti yang kemas dan tersusun, serta kadar tarif dan harga harga hartanah yang rendah dan kompetitif, berupaya menjadi tarikan kepada penyedia perkhidmatan perkomputeran dan data dunia.

 

“Selain menjadi pusat rujukan kepada pelbagai pelabur dan pemain industri global, lokasi dan kedudukan negara yang jauh dari zon seismik aktif akan menjadikan Pusat Data ini sebagai pusat data yang selamat dan stabil,” katanya pada Majlis Pecah Tanah Pusat Data Nusajaya Vads, di sini hari ini.

 

Beliau berkata, kewujudan pusat data itu akan dapat merangsang pembangunan kluster syarikat perkhidmatan pengkomputeran awan tempatan dan limpahannya akan dinikmati oleh rakyat Johor.

 

“Kita menjangkakan yang pelaksanaan pusat data seperti ini akan memberi banyak manfaat dan peluang kepada pemain industri dari seluruh Malaysia.

 

“Hasil keupayaannya menarik para pelabur terutamanya di kalangan syarikat tempatan yang mahu menempatkan semula operasi IT dan pengeluaran mereka ke Johor, sudah tentu ia akan membawa kesan domino.

 

“Limpahan ini membuka pelbagai peluang pekerjaan baharu kepada masyarakat tempatan. Semua ini akan merangsang kerancakan aktiviti perniagaan yang lain,” katanya.

 

“TM sebagai sebuah syarikat komunikasi yang mempunyai rangkaian dan sumber yang luas, dan dengan kepakaran yang dimiliki oleh VADS dalam membangunkan pusat data Nusajaya, pusat data itu akan menjadi satu lagi kejayaan penyediaan fasiliti yang penting kepada ekonomi negara,” katanya lagi.

davispropertymanagement.com