MEDINI 9 CONTOH PEMBANGUNAN BANDAR LESTARI

NUSAJAYA: Pembangunan Medini 9, bangunan pejabat terkini bagi komuniti perniagaan bakal menjadi contoh kepada projek pembangunan yang lestari dan mampan.

 

Menteri Besar, Dato’ Mohamed Khaled Nordin, berkata visi pembangunan bandar di negeri ini bukan hanya sekadar membangunkan sebuah bandar biasa tetapi perlu kepada pengwujudan bandar yang menawarkan kualiti hidup yang baik serta dapat mengurangkan kesan terhadap alam sekitar.

 

“Kita perlu bukan sahaja bandar-bandar biasa, tetapi bandar yang mampan, bandar yang boleh rakyat menikmati kualiti hidup yang baik serta bandar yang direka tanpa memberi kesan kepada alam sekitar.

 

“Pembangunan bandar Medini ini membezakannya daripada pemaju lain dengan menjadi perintis pembinaan bandar mampan,” katanya pada majlis Pecah Tanah Medini 9 di sini semalam.

 

Medini 9 akan dilengkapi dengan elemen bangunan pintar termasuk pusat kawalan pintar jaminan tenaga dan pengurusan bangunan selaras dengan wawasan MIMSB untuk membawa cara hidup pintar dan lestari.

 

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Medini 9, Ir. Khairil Anwar Ahmad berkata Medini 9, mempunyai bangunan 21 tingkat dengan ruang boleh sewa bersih kira-kira 380,000 kaki persegi,  dan dijangka siap pada suku pertama 2018.

 

Mengambil kira sambutan yang amat menggalakkan daripada penyewa pelbagai negara bagi bangunan sebelumnya, Medini 6 dan Medini 7, beliau yakin bangunan baharu ini akan menarik minat bakal penyewa.

davispropertymanagement.com