MB JOHOR TERIMA DOKTOR KEHORMAT PENGURUSAN UTM

Print

SKUDAI: Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin hari ini dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Pengurusan oleh Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di atas sumbangan besar beliau dalam memartabatkan institusi pengajian tinggi negara ke tahap yang membanggakan.

 

Anugerah disampaikan Permaisuri Johor yang juga Canselor UTM, Raja Zarith Sofia Sultan Idris Shah pada Majlis Konvokesyen ke-55 UTM di sini, hari ini.

 

Mohamed Khaled ketika berucap pada majlis berkenaan berkata, pendidikan tinggi adalah instrumen pengislahan bangsa yang paling penting untuk sesebuah negara.

 

Katanya, masa depan negara dan bangsanya bukan bergantung kepada sumber mineral atau kekayaan hasil bumi semula jadi, tetapi bergantung pada kemanfaatan ilmu pengetahuan.

 

“Kita semua percaya, bahawa kejayaan ekonomi yang hebat, kebangkitan bangsa yang bermaruah, dan kemunculan negara yang disegani, memerlukan bakat terbaik bangsa dibongkar dan diiktiraf.

 

“Perhatikanlah pencapaian Malaysia selama lima dekad lepas. Segala pencapaian yang memberangsangkan tersebut adalah ekoran daripada ikhtiar para pendiri bangsa kita, yang membuka seluas-luasnya peluang dalam pendidikan tinggi,” katanya.

 

Beliau turut menyeru agar institusi universiti terus menggalas tanggungjawab, mencurahkan segala amal dan bakti kepada masyarakat.

 

“Universiti punya tanggungjawab pada masyarakat, pada semua kaum, semua lapisan masyarakat. Yang miskin, yang berbeza aliran kepercayaan dan politik, dan pada masyarakat antarabangsa.

 

“Misi serta segala sumbernya mesti digembleng untuk membantu penyelesaian masalah manusia sejagat. Masyarakat sekeliling dan negara ini harus menerima manfaat dari limpahan khazanah ilmu universiti,” katanya.

 

Ujar beliau lagi, dalam usaha menjadikan universiti institusi terbaik bangsa, antara perkara yang harus dilakukan adalah meraikan idea, kreativiti dan pemikiran unggul.

 

“Pada saya, universiti terbaik adalah universiti yang membenarkan sesuatu idea itu diiktiraf atau dihakimi kerana kualiti dan kekuatannya. Dan bukan mempersoalkan pihak yang mencetuskannya.

 

“Walaupun idea itu bukan dari seorang profesor tersohor atau sarjana terbaik kita. Biar idea itu datang dari siapa sahaja sekalipun. Baik mahasiswa yang masih mentah atau anak-anak di bangku sekolah. Jika ia bernas, raikan, kembangkan, dan sebarluaskan,” katanya.