JOHOR SAMBUT BAIK BAJET 2016

JOHOR BAHRU: Kerajaan Negeri Johor menyambut baik Bajet 2016 yang dibentangkan oleh YAB. Perdana Menteri, dengan merakamkan penghargaan serta ucapan terima kasih di atas keprihatinan Perdana Menteri dalam mendengar denyut nadi rakyat Malaysia dan rakyat Johor khususnya.

 

Menteri Besar, Dato’ Mohamed Khaled Nordin, berkata bertepatan dengan tema Mensejahterakan Kehidupan Rakyat dan Memperteguhkan Ketahanan Ekonomi Negara, Ia adalah bajet yang berlandaskan amenjadikan Malaysia sebuah negara berpendapatan tinggi pada dekad yang mendatang.

 

Katanya, bajet yang dibentangkan itu menyentuh secara menyeluruh kehidupan rakyat, tidak hanya golongan berpendapatan rendah tetapi juga turut menyentuh golongan berpendapatan sederhana yang terkesan dengan kemerosotan ekonomi global yang mencabar.

 

“Apa yang lebih penting, selain memastikan belanjawan yang menyeluruh, ia juga mengukuhkan kedudukan ekonomi negara.

 

“Bajet itu juga menawarkan berita baik buat Johor dengan peruntukan bagi projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID) di Pengerang, Johor bakal meningkatkan sinergi pembangunan kawasan tersebut dan mampu memakmurkan negeri dan negara.

 

“Selain itu, pembinaan Hospital Pasir Gudang adalah tepat pada masanya berikutan peningkatan penduduk di kawasan tersebut dan keperluan perkhidmatan yang kian mendesak bagi kawasan sekitar,” katanya.

 

Beliau berkata, Kerajaan Negeri akan mendapatkan butiran terperinci Bajet 2016 untuk mengetahui keseluruhan peruntukan bagi Johor.

davispropertymanagement.com