YAYASAN PENYAYANG MPJBT BANTU TINGKAT KUALITI HIDUP MASYARAKAT

JOHOR BAHRU: Penubuhan Yayasan Penyayang MPJBT dilihat langkah tepat dalam menggalas peranan utamanya untuk meningkatkan kualiti kehidupan masyarakat.

 

Menteri Besar, Dato' Mohamed Khaled Nordin berkata, usaha ini juga mampu menjadikan negeri dan masyarakat lebih mandiri dan saling membantu demi kesejahteraan.

 

"Dalam keadaan Johor yang semakin pesat, kita sentiasa berdepan cabaran untuk membangunkan negeri secara inklusif,adil dan saksama.

 

"Oleh itu, penubuhan yayasan ini adalah satu manifestasi untuk menggambarkan usaha muafakat antara PBT dengan masyarakat dalam lingkungannya,  katanya selepas merasmikan Yayasan Penyayang MPJBT, disini, kelmarin. 

 

Turut hadir, Pengerusi Yayasan MPJBT, Mohammad Khairi A. Malik dan EXCO Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abd. Latiff Bandi.

 

Mohamed Khaled berkata, kejayaan yayasan juga bergantung pada beberapa aspek, antaranya sumber kewangan yang stabil.

 

"Kerajaan Negeri melalui PBT akan menyumbang satu peratus dari hasil cukai dan bukan cukai untuk menjayakan program yang kreatif dan inovatif".

 

"Semua pihak juga perlu melibatkan diri dalam pelaksanaan program bagi memastikan institusi penting ini berjaya diterima dan disokong oleh masyarakat", katanya. 

 

Beliau juga berkata setiap usaha yang dirancang merupakan ikhtiar dan instrumen transformasi sosial yang mampu merapatkan jurang dan memantapkan saluran setiakawan.

 

Pada majlis tersebut, Mohamed Khaled turut menyampaikan Sijil Perlantikan Ahli Lembaga Pemegang Amanah kepada sepuluh orang penerima, terdiri daripada 

Pemimpin Tertinggi dan Ahli Lembaga Pemegang Amanah (ALPA) Yayasan Penyayang MPJBT.

davispropertymanagement.com