KERAJAAN NEGERI SARAN NGO PERBANYAKKAN PROGRAM KHIDMAT BAKTI

Print

PASIR GUDANG: Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) disaran untuk memperbanyakkan program khidmat bakti untuk membantu golongan kurang berkemampuan. 

 

Menteri Besar, Dato' Mohamed Khaled Nordin berkata, usaha murni ini bukan sahaja atas dasar keprihatinan tetapi lebih kepada peluang untuk mendekatkan diri dengan golongan ini. 

 

"Usaha ini membolehkan saya mengetahui masalah yang dihadapi dan memikirkan bagaimana cara untuk membantu mereka".

 

"Disamping itu, ia juga dapat memupuk semangat permuafakatan dan kesukarelawanan antara semua kaum," katanya selepas menyampaikan sumbangan berupa makanan percuma dan barangan keperluan asas kepada keluarga Teh Yoong Chen, 54, yang mengidap kanser kolon di sini, pagi tadi. 

 

Bapa kepada tiga orang anak ini merupakan penerima bantuan bulanan dari NGO terlibat kerana tidak mampu bekerja selain terpaksa menanggung sendiri kos perubatan.

 

Program anjuran Persatuan Meninggikan Akhlak Moral Che Sir Khor Masai dan Pertubuhan Hieh Tian Meow Masai ini melibatkan 40 buah keluarga disekitar parlimen Pasir Gudang. 

 

Program bantuan makanan percuma yang dijalankan setiap minggu pada hari Ahad, turut melibatkan bantuan bulanan barangan keperluan asas bernilai RM100.  

 

Bantuan kepada penerima adalah untuk tempoh enam bulan serta 35 orang sukarelawan terlibat untuk menjayakan program.

 

Pada majlis yang sama, Mohamed Khaled turut menyampaikan sumbangan kepada keluarga Saroja a/p Kanipan, 51, seorang ibu tunggal serta keluarga Tian Lee Choo, 40, yang bekerja sambilan dengan gaji bulanan RM1,500 dan menyara isteri juga enam orang anak.