2,500 PENDUDUK BAKAL PEROLEH MANFAAT PROJEK EKO PELANCONGAN

PASIR GUDANG: Kira-kira 2,500 penduduk Kampung Kuala Masai dan Kampung Pasir Gudang Baru bakal peroleh manfaat hasil dari projek eko pelancongan tahun hadapan.

 

Menteri Besar Dato' Mohamed Khaled Nordin berkata, kedua-dua kampung tersebut akan disatukan dan dibangunkan sebagai projek eko pelancongan. 

 

"Projek ini akan menjadi 'pilot project', diikuti kampung-kampung lain di seluruh bandar, dengan kerjasama Kerajaan Negeri dan Pihak Berkuasa Pembangunan Wilayah Iskandar Malaysia (IRDA)," katanya kepada media selepas merasmikan Pusat Komuniti KOSPEN di sini, pagi tadi.

 

Turut hadir, Pengerusi KOSPEN Kg. Kuala Masai, Roslan Wahab dan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Daerah Johor Bahru, Dr. Badrul Abdul Samad. 

 

Mohamed Khaled berkata, apa yang penting, penduduk disini mendapat manfaat hasil dari projek ini.

 

"Kami akan membina jambatan antara dua kampung ini merentasi Sungai Masai, dan disitu akan ada Pasar Terapung untuk memberi peluang orang kampung menjual hasil produk mereka".

 

"Projek ini juga akan menjadi tarikan baru, disamping cadangan membina sebuah lagi hospital kerajaan di Taman Seri Alam serta menambah pembinaan rumah mampu milik" katanya.

 

Terdahulu ketika berucap merasmikan pusat komuniti itu, beliau menegaskan supaya memberi perhatian mengenai aspek kesihatan demi kesejahteraan rakyat.

 

Beliau berkata , Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) dan Kementerian Kesihatan perlu berkolabarasi dengan institusi masyarakat untuk memberi maklumat mengenai kesihatan. 

 

KOSPEN antara lain telah menubuhkan kumpulan sukarelawan yang dikenali sebagai Pasukan Gerak Sihat Malaysia (GSiM) yang menjalankan aktiviti promosi dan memberi khidmat nasihat mengenai asas kesihatan kepada komuniti penduduk.

 

Budaya kesukarelawanan ini juga merupakan tonggak utama pelaksanaan aktiviti KOSPEN ke arah gaya hidup sihat dan seterusnya mencegah penyakit tidak berjangkit seperti darah tinggi dan kencing manis.

davispropertymanagement.com