HIJRAH SARAT PENGERTIAN, PANDUAN BUAT UMAT ISLAM

Print

KULAI:
Peristiwa Hijrah memberi pengertian yang sarat dengan pengajaran dan panduan untuk umat Islam melakukan perubahan ke araha kehidupan yang lebih baik.

 

Menteri Besar, Dato’ Mohamed Khaled Nordin berkata, hijrah bukan sekadar perbuatan bermusafir dari satu tempat ke tempat yang lain.

 

“Ia adalah perbuatan dan tindakan. Bukan cakap kosong dan janji manis. Bukan ditulis atas papan putih atau kertas berwarna untuk kita tenung dan lihat. Tetapi satu keazaman yang diakhiri dengan tindakan,” katanya pada Majlis Sambutan Maal Hijrah 2015M/1437H di Dewanraya Putra, Bandar Putra dekat sini, hari ini.

 

Beliau berkata, walaupun pada masa ini umat Islam tidak perlu meninggalkan kampung halaman, sanak saudara dan pekerjaan untuk berpindah atas nama menyelamatkan aqidah, namun ia tidak bermakna umat Islam tidak perlu berhijrah.

 

Katanya, tuntutan hijrah yang lebih besar ialah melakukan perubahan dalam memberikan yang lebih baik kepada agama, pada Johor dan pada bangsanya.

 

“Keazaman ini tertanam kukuh dalam hati kita dan harus diperbaharui saban masa, harus diterjemah pada amal.

 

“Islam menjadi anutan di segenap pelusuk benua, oleh pelbagai bangsa dan kaum.  Islam menyumbang kepada sains, inovasi, keadilan sosial. Malah kerana hijrahlah, Islam sampai di Tanah Melayu,” tambahnya lagi.

 

Pada Majlis itu,  bekas Guru Besar Sekolah Agama Gunung Lambak, Kluang, Zahari Jaafar Awang, 68, dipilih tokoh Maal Hijrah Peringkat Negeri Johor.  Beliau menerima hadiah wang tunai RM10,000, sijil serta hadiah iringan.

 

Hadir sama pada majlis itu ialah Speaker Dewan Negeri Tan Sri Mohamed Aziz, Pengerusi Jawatankuasa Agama Negeri Abd Mutalip Abd Rahim, Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Ismail Karim dan Mufti Negeri Johor, Dato’ M.Tahrir Samsudin.