BEKALAN AIR DAN PENGANGKUTAN AWAM FOKUS UTAMA DALAM BAJET JOHOR 2016

JOHOR BAHRU: Sistem pembekalan air yang mapan dan lestari serta pengangkutan awam yang efisien menjadi antara fokus utama Kerajaan Negeri pada pembentangan Bajet Johor 2016.

 

Menteri Besar Dato’ Mohamed Khaled Nordin berkata, permohonan peruntukan kedua-dua aspek penting pembangunan negeri itu telahpun dikemukakan kepada Kerajaan Pusat bagi penilaian dan pertimbangan untuk Belanjawan Malaysia yang akan dibentangkan 23 Oktober ini.

 

“Kita di Johor memerlukan pelan jangkamasa panjang bagi meningkatkan sistem bekalan air dan meningkatkan kemudahan pengangkutan awam ke tahap yang lebih baik,” katanya kepada media selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa Rendah Karbon Asia di sini, semalam.

 

Turut hadir, Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) Datuk Ismail Ibrahim, Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Prof Datuk Ir Dr Wahid Omar dan Duta Perancis ke Malaysia, Christophe Penot.

 

Mohamed Khaled berkata, apa yang penting bajet itu kelak akan dapat memenuhi keperluan rakyat.

 

Beliau berkata fokus lain termasuklah pembangunan Pengerang serta Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER).

 

Terdahulu ketika berucap merasmikan persidangan itu, Mohamed Khaled mengulangi pendirian Kerajaan Negeri dalam menyokong inisiatif Kelestarian Masyarakat Rendah Karbon di dalam Wilayah Pembangunan Iskandar Malaysia.

 

Beliau kemudian menyaksikan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) di antara UTM dan Ronser Bio-Tech Sdn Bhd, Gait Rungkai Sdn Bhd dan IRDA.

 

MoU antara lain menyaksikan UTM sebagai perintis universiti pertama di Malaysia membina loji janakuasa biogas daripada sisa makanan.

 

Kerjasama antara ketiga-tiga pihak dengan UTM adalah untuk berkongsi kepakaran dan pengetahuan dan menggalakkan penyelidikan untuk menangani isu pengurusan sisa pepejal, pembangunan tenaga diperbaharui serta mewujudkan persekitaran yang mapan dan mengurangkan jejak karbon.

davispropertymanagement.com