JOHOR BAKAL ANJUR KEJUARAAN MUAY THAI ANTARABANGSA

PASIR GUDANG: Persatuan Muay Thai Negeri Johor bakal menganjurkan Kejuaraan Muay Thai Antarabangsa tahun depan, berbekalkan kejayaan penganjuran Kejohanan Muay Thai Terbuka Johor bagi edisi kedua tahun ini.

 

Penasihat Persatuan Muay Thai Johor, Ibrahim Mohd Salleh berkata kejuaraan yang julung kalinya diadakan itu bakal menyajikan aski-aksi tangkas peserta profesional dan amatur dari beberapa buah negara.

 

Beliau berkata penganjurannya bertepatan dengan meningkatnya minat terhadap seni bela diri yang berasal dari Thailand itu di kalangan para peminat tempatan dan sudah tiba masanya pertandingan bertaraf antarabangsa diadakan di Johor.

 

“Jumlahnya pengamal seni itu serta peminatnya semakin bertambah dari semasa ke semasa dan sokongan pihak Kerajaan Negeri dalam menjayakan inisiatif sukan ini amat membanggakan,” katanya ketika berucap pada perasmian kejohanan itu di Stadium Perbandaran Pasir Gudang dekat sini, semalam.

 

Menurut Ibrahim, kejohanan tahun ini menerima sambutan yang menggalakkan, apabila penyertaan yang diterima tidak hanya dari Johor, tetapi turut menarik penglibatan kelab-kelab dari dalam dan luar negara termasuk Thailand dan Singapura.

 

Majlis perasmian disempurnakan oleh Menteri Besar Dato’ Mohamed Khaled Nordin.  Hadir sama, Exco Belia, Sukan dan Kebudayaan Negeri Johor, Dato Zulkurnain Kamisan. 

 

Mohamed Khaled turut menyampaikan anugerah Tali Pinggang Menteri Besar Johor kepada pemenang bagi kategori 68 kilogram, Terrence Teo dari Kelab Juggernaut Fight yang berjaya menewaskan Mohamad AlHafiz, jaguh Muay Thai dari Kelab Green Fitness Fight.

davispropertymanagement.com